ANGGOTA bomba dan penyelamat, Shamsudin Ismail mendukung Norieen Yaakob yang ditemukan di tebing Sungai Perias, Gua Musang, Kelantan, semalam.
GUA MUSANG 9 Okt. - Kurus kering sehingga menampakkan tulang, tidak bermaya dan berada dalam ketakutan.
Itu keadaan Norieen Yaakob, 10, dan Mirsudiar Aluj,11, dua daripada tujuh kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang ditemukan selamat di dalam banir sebatang pokok di tebing Sungai Perias, kira-kira 3.3 kilometer dari Pos Tohoi di sini, hari ini.
Kedua-dua kanak-kanak itu yang masih lengkap berpakaian dijumpai oleh seorang anggota polis bersama dua penduduk ketika sedang mengadakan operasi mencari dengan menaiki bot di kawasan tersebut kira-kira pukul 12.15 tengah hari.
Pada masa sama, pasukan mencari turut menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan yang dikenali, Ika Ayel,9, yang dipercayai meninggal dunia sejak beberapa hari lalu di lokasi berhampiran penemuan dua kanak-kanak itu.
Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, kanak-kanak tersebut ketika ditemukan sedang bersembunyi di dalam akar pokok tersebut selain menangis teresak-esak dan cuba melarikan diri pada mulanya.
Beliau berkata, mayat kanak-kanak perempuan itu pula ditemukan bersebelahan dengan lokasi penemuan kedua-dua murid terbabit.
"Secara fizikalnya, mayat kanak-kanak perempuan itu masih dalam keadaan sempurna serta kita percaya mangsa meninggal dunia beberapa hari lalu dan dijaga oleh dua kanak-kanak tersebut.
"Kedua-dua mereka akan dihantar ke hospital di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan rapi serta proses pemulihan. Pihak hospital di sini akan melakukan bedah siasat terhadap mayat Ika sebelum diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang, di sini hari ini.
Misteri kehilangan tujuh murid Orang Asli SK Tohoi sejak 23 Ogos lalu hampir menemui noktah dengan penemuan terbaharu itu hari ini.
Sebelum ini, pasukan penyelamat menemukan mayat Sasa Sobrie, 8, dan rangka manusia dipercayai salah seorang daripada kanak-kanak tersebut.
Mazlan berkata, Norieen dan Mirsudiar memaklumkan kesemuanya tidak pernah berpecah dan mereka akan menyembunyikan diri setiap kali terdengar atau melihat anggota penyelamat.
“Kanak-kanak ini juga memaklumkan kawan-kawan mereka meninggal dunia atas faktor kelaparan dan ada di antara disebabkan lemas di sungai itu.
“Kita percaya baki dua kanak-kanak yang belum ditemui berada di sekitar kawasan ini. Melalui penemuan mayat pertama, kedua, rangka manusia dan kanak-kanak tersebut, semua mereka ditemukan di kawasan sekitar lebih tiga kilometer dari kawasan mereka dilaporkan hilang,” katanya.
Katanya, pihak penyelamat akan memperhebatkan operasi mencari dua kanak-kanak yang belum ditemukan di sekitar kawasan sungai itu.
Tambahnya, polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak yang hilang itu bertahan di dalam hutan tersebut dengan makan rumput dan minum air sungai.
“Siasatan kita mendapati kes kehilangan pelajar ini tidak ada unsur jenayah," katanya. Utusan Online
0 Response to "Dua kanak-kanak ditemukan selamat"
Post a Comment